Universiti Malaysia Kelantan ringkasnya UMK merupakan Institut Pengajian Tinggi Awam yang ke 19 dan telah diumumkan penubuhannya semasa pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe9) oleh YAB Perdana Menteri Malaysia. Ia kemudiannya diluluskan penubuhan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Jun 2006 . Universiti Malaysia Kelantan merupakan satu-satunya Universiti penuh yang ditempatkan di Negeri Kelantan Darul Naim . Falsafah kurikulum pengajian di UMK ialah berteraskan kepada pendidikan keusahawanan (entrepreneurship education) . Oleh itu frasa rangsangan “Entrepreneurial University” dan “Entrepreneurship Is Our Thrust” digunakan dengan meluas . Bagi jangkamasa pendek dan sederhana 3 kelompok bidang teras diberi penekanan iaitu Keusahawanan dan Perniagaan , Teknologi Kreatif dan Warisan serta Agro-Industri dan Sumber Asli .Pada masa yang sama penekanan juga diberikan kepada kemahiran bahasa dan insaniah yang mana program-program ini diwujudkan bagi melahirkan modal insan Negara yang berkualiti tinggi dan bermanfaat untuk kesejahteraan global dengan memberi perhatian kepada peningkatan keupayaan dan kemampuan EKS (Capability and capacity building of SME) dan dalam pelaksanaannya, ICT sebagai pengupaya dalam menggerak kejayaan .